Thursday, February 16, 2012

Kisah wanita yang dikahwinkan oleh Allah dengan RasulNya s.a.w

Kisah wanita yang dikahwinkan oleh Allah dengan RasulNya s.a.w:

Hubungan yang semakin tidak harmoni menghantarkan kepada pertemuan antara Zaid dengan Rasulullah untuk mengadu permasalahan rumahtangganya. Berkali-kali Zaid meminta persetujuan baginda untuk menceraikan Zainab binti Jahsy, tetapi dijawab oleh baginda dengan sabdanya, "Tahanlah isterimu dan bertaqwalah kepada Allah!". Pada saat yang sama, Rasulullah s.a.w sebenarnya menyedari bahawa perceraian tersebut pasti akan terjadi dan Allah akan memerintahkan baginda untuk menikahi Zainab dalam rangka untuk menghapuskan bid’ah anak angkat. Perkhabaran tersebut telah disampaikan melalui Jibril, bahawa Zainab akan menjadi isteri baginda dan Allah s.w.t akan menggugurkan pernikahan Zainab dan Zaid. Hal ini menimbulkan keresahan di hati baginda s.a.w sebagai manusia biasa yang pasti akan berhadapan dengan celaan masyarakat jahiliyyah ketika itu lantaran baginda akan menikahi bekas isteri kepada 'anak' baginda.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik segala yang terjadi. TujuanNya tidak lain untuk menghapus segala tradisi anak angkat dan hukum-hukum jahiliyyah yang berakar di dalam masyarakat ketika itu. Teguran Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w berkaitan hal ini terkandung di dalam ayat 37 surah Al-Ahzaab:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (Al-Ahzaab 33:37)

Begitulah perintah dari Allah, lalu Rasulullah s.a.w melaksanakan perintah tersebut tanpa sedikit pun keberatan di dalam hati baginda. Zainab binti Jahsy memperolehi kemuliaan yang besar dari Allah s.w.t kerana menjadikannya salah seorang Ummahatul Mukminin. Tatkala tamat tempoh iddah Zainab, Rasulullah mengutuskan Zaid untuk melamarnya bagi diri baginda. Ibnu Abbas r.a berkata, "Setelah Zainab diberitahu bahawa Rasulullah s.a.w ingin menikahi beliau, maka dia pun bersujud." [Tahdzibul-asma’ wal-lughat, 2/345]